
JOHOR BAHRU, 3 Mac – Johor menyasarkan unjuran hasil negeri sebanyak RM3.6 bilion sehingga hujung tahun ini, susulan prestasi kutipan semasa yang memberangsangkan.
- Johor menyasarkan unjuran hasil negeri RM3.6 bilion sehingga hujung tahun ini susulan prestasi kutipan memberangsangkan.
- Angka RM3.6 bilion jauh melebihi unjuran asal RM2.6 hingga RM2.7 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri.
- Kerajaan negeri optimis sasaran tercapai dengan kutipan kira-kira RM300 juta sebulan dan pengurusan fiskal berhemah.
Angka RM3.6 bilion itu jauh mengatasi unjuran asal yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan Negeri sebelum ini iaitu sekitar RM2.6 hingga RM2.7 bilion.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri optimis sasaran tersebut mampu dicapai sekiranya momentum kutipan hasil kira-kira RM300 juta sebulan dapat dikekalkan secara konsisten.
“Jadi tidak mustahil pada tahun ini, walaupun unjuran hasil negeri adalah antara RM2.6 hingga RM2.7 bilion, jumlah tersebut mampu melepasi RM3 bilion menjelang akhir tahun ini, insya-Allah.
“Apabila hasil negeri meningkat, sudah pasti dengan perkenan Kebawah Duli Tunku dan Pemangku Sultan Johor, seperti saya kata dahulu, setiap peningkatan hasil akan dipastikan disalurkan semula kepada bangsa Johor”, katanya.
Kerajaan negeri yakin dengan pengurusan fiskal berhemah, pertumbuhan pelaburan yang mampan serta kerjasama semua pihak, Johor berpotensi mencatat sejarah baharu dalam pencapaian hasil negeri tahun ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) kepada 200 pengamal media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Saujana, Johor Bahru.