PUTRAJAYA, 9 Januari- Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto, hari ini akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia buat kali pertama sejak memegang jawatan tersebut pada Oktober lalu.
Wisma Putra menerusi kenyataan berkata lawatan itu mencerminkan hubungan istimewa antara kedua-dua negara yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan dan keselamatan.
Semasa lawatan, Prabowo dijadual mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua pemimpin akan membincangkan kerjasama dua hala, selain meneroka potensi kerjasama baharu bagi memperkukuh hubungan kedua-dua negara.
Dengan Malaysia mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh Pembinaan Komuniti ASEAN, selain kerjasama serantau serta menangani cabaran global.
Tahun 2023 menyaksikan Republik Indonesia sebagai rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global juga ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion.
Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion, berbanding RM94.37 bilion dalam tempoh sama pada 2023.