KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Sebuah rumah penyembelihan ayam di Puchong telah dikenakan tindakan undang-undang selepas didapati melanggar manual Pensijilan Halal Malaysia selain dikesan beroperasi dalam keadaan kotor.
Dalam operasi yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) malam tadi, pelbagai ketidakpatuhan terhadap prosedur halal dan aspek kesihatan turut ditemui di lokasi tersebut.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata operasi Op Kita Gempur yang bermula pada pukul 8 malam dilakukan selepas menerima aduan awam terhadap premis penyembelihan tersebut.
"Hasil pemeriksaan mendapati proses penyembelihan yang dilakukan di luar premis dan ini adalah satu kesalahan berulang dilakukan oleh syarikat ini, ketidakakuran besar, ketiadaan pemeriksa halal bagi proses penyembelihan dan pelanggaran amalan pengilangan baik (kebersihan).
"Tambahan pula, keadaan premis yang tidak bersih serta pelanggaran Good Manufacturing Practices (GMP) menimbulkan kebimbangan terhadap kebersihan dan piawaian kesihatan​," katanya selepas serbuan itu malam tadi.
Tambah beliau, selain daripada pelanggaran halal, pemeriksaan juga mendapati penggunaan empat unit alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan serta 13 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa permit sah digunakan untuk tujuan perdagangan.
Katanya, premis terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, mengulas pelanggaran manual prosedur Pensijilan Halal Malaysia, Mohd Zuhairi berkata kes itu akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Halal Selangor.
untuk menilai semula status sijil halal premis tersebut.
"Ini untuk menilai semula status sijil halal premis terbabit. Jika sijil halal premis ini dibatalkan, penggunaan logo halal bagi perniagaan mereka akan dilarang.
"Sekiranya masih diteruskan, tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 boleh dikenakan kepada premis terbabit," ujarnya.