LABUAN, 23 Disember- Premis pasar raya didapati mematuhi garis panduan kawalan harga barangan bersempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 peringkat Labuan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan terus komited melaksanakan pemerhatian dan pemantauan bagi memastikan harga yang ditawarkan terkawal berdasarkan ketetapan yang dikuatkuasakan.
Di Labuan, skim itu berkuat kuasa selama lima hari bermula hari ini meliputi 14 jenis barangan dikawal di bawah skim tersebut.
Pelaksanaan skim itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Menurut beliau, ketika melakukan tinjauan dijalankan, tiada kesalahan yang dikesan bawah Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011 melibatkan pelbagai barangan dan pematuhan.
"Kita melihat kepada 13 barangan seperti yang ditetapkan dalam SHMMP. Kita melihat sudut kawalan harga itu. Kita tinjau di premis ini tadi, semuanya terkawal. Patuh kepada SHMMP, semua barangan di bawah harga maksimumlah," kata Simsudin kepada pemberita selepas melancarkan skim itu di salah sebuah pasar raya di Labuan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Labuan, Amiluddin Malang.