fb fb fb fb fb

Prebet Muhammad Syafiq masih belum ditemui, operasi SAR memasuki hari ke-10

FOTO HIASAN

LIMBANG, 27 Jun- Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini memaklumkan, usaha mencari Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim, anggota tentera Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang dilaporkan hilang semasa melaksanakan Op Ukur di Limbang bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Sarawak pada 18 Jun lepas masih giat dijalankan.

Menerusi satu kenyataan, TDM memberitahu operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota Rejimen Sempadan yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu itu memasuki hari ke-10 dengan kaedah pencarian udara dan darat dilakukan sekitar kawasan Ulu Mendalam.

“Antara aset yang diaturgerakkan adalah helikopter EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan helikopter LOH (AW 109) Agusta milik TDM serta dipergiatkan lagi dengan bantuan unit Anjing Pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut melaksanakan pencarian di sekitar kawasan radius pencarian sektor mereka,"menurut kenyataan berkenaan.

Tambah kenyataan itu, TDM kekal komited dan konsisten dalam operasi tersebut dan berharap agar orang ramai dapat bersama-sama mendoakan agar anggota berkenaan dapat ditemui segera dalam keadaan selamat.

Masyarakat juga diharapkan memberikan kerjasama dengan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu misi pencarian.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE