fb fb fb fb fb

Prasarana tubuh jawatankuasa siasat insiden OKU digilis tren

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Februari- Satu jawatankuasa ditubuh bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang maut digilis tren selepas terjatuh di kawasan landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa, Sabtu lalu.

Menurut Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), hasil laporan berkenaan akan dibentang kepada Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Prasarana akan melaksanakan inisiatif penambahbaikan yang dicadangkan oleh jawatankuasa itu dengan kadar segera.

Prasarana amat kesal dan berdukacita atas insiden tersebut dan akan memberikan bantuan ihsan sewajarnya kepada keluarga mangsa.

"Prasarana mengambil tindakan segera untuk menangani dan mempertingkatkan aspek keselamatan bagi semua pengguna rel terutamanya golongan OKU, dengan menambah bilangan anggota polis bantuan di stesen-stesen yang tidak mempunyai pintu platform automatik (PSD) dan yang mempunyai bilangan pengguna OKU yang tinggi.

"Penambahan anggota polis bantuan ini adalah untuk mempertingkatkan pemantauan di platform bagi mengenal pasti dan memberi pertolongan dengan lebih efisien kepada pengguna khususnya OKU dan warga emas.

"Tatacara pengendalian operasi (SOP) ditambah baik bagi meningkatkan mutu pemantauan khususnya di platform," menurut kenyataan itu.

Prasarana juga sedang dalam proses menaik taraf kepada kamera litar tertutup pintar atau SMART CCTV yang berupaya mengesan perilaku aneh dan berisiko.

Langkah itu dapat memberi amaran awal kepada pihak operasi sekiranya berlaku sebarang insiden khususnya di platform.

"Kerja-kerja pemasangan kamera dijangka akan siap pada hujung tahun ini secara beringkat bermula dengan Laluan Monorel sebelum diteruskan ke laluan-laluan lain.

"Bagi langkah jangka panjang, Prasarana sedang dalam perancangan untuk memasang pintu platform automatik (PSD) di Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Kelana Jaya.

"Fungsi PSD amat penting bagi mengelakkan pengguna turun atau terjatuh ke atas landasan," tambah kenyataan itu.

Untuk rekod, pemasangan PSD di Laluan Monorel telah siap pada penghujung tahun lepas.

Prasarana juga akan melipatgandakan sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan OKU bagi mendapatkan maklum balas serta memperbaiki prosedur dari semasa ke semasa.

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM