fb fb fb fb fb

Prabowo diberi sambutan negara di Istana Negara

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Januari- Presiden Indonesia, Prabowo Subianto diberi sambutan negara di Istana Negara, sempena lawatannya ke Malaysia hari ini.

Ketibaan beliau pada pukul 10 pagi itu disambut oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Istiadat sambutan di padang kawad itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Indonesia dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, disusuli 21 das tembakan meriam.

Presiden Indonesia itu kemudian memeriksa kawalan kehormat membabitkan tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Perdana Sungai Besi yang diketuai oleh Mejar Azham Mohamad.

Beliau kemudian mengadakan pertemuan bersama Sultan Ibrahim di Dewan Seri Maharaja sebelum diraikan pada Majlis Jamuan Negara.

Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Johor (DK1) Yang Amat Dihormati kepada Prabowo.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE