fb fb fb fb fb

Potensi pelaburan baharu syarikat Eropah, raih lebih RM45 bilion - Anwar

Foto FB Anwar Ibrahim

HAMBURG, 16 Mac- Lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman berjaya mencapai matlamatnya.

Menurut Anwar, paling utama, melibatkan aspek pengukuhan persahabatan yang sedia erat antara kedua-dua negara.

Juga, meningkatkan kerjasama perdagangan dan peluang pelaburan untuk Malaysia.

"Ada persiapan awal MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia), kedutaan dan kementerian-kementerian seperti SME ( Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia) bawah Kementerian KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi).

"Jadi, bila ada jentera berkesan, bila saya datang, lebih memudahkan.

"Dan syukur kerana 'profile' kita, sikap kita, dapat menarik perhatian mereka, bila pimpinan mereka berikan penghormatan begitu, syarikat-syarikat itu lebih lunak, sedia masuk," kata Anwar kepada pemberita menerusi satu sidang media di sini.

Selain itu, Anwar berkata potensi pelaburan baharu bernilai RM45.4 bilion diraih melalui tujuh syarikat Eropah bagi jangka masa lima hingga 10 tahun.

Pelaburan kebanyakannya melibatkan sektor diperuntukkan di dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).

Katanya, ia termasuk semikonduktor, aeroangkasa, kimia, peranti perubatan dan teknologi kaca.

"Ia merupakan sektor penting yang menyumbang kepada kemajuan industri dalam negara.

"Antaranya melibatkan projek-projek di bawah syarikat X-Fab, Melexis, dan Schott Glass, yang telah diluluskan pada 2023 dengan jumlah RM4.45 bilion, yang dijangka menjana 1,000 peluang pekerjaan," kata Anwar.

Sementara syarikat Airbus yang akan membuat pelaburan tambahan bernilai RM1.4 bilion, melalui potensi jualan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia ke Jerman dalam sektor aeroangkasa bagi tempoh lima tahun akan datang.

Airbus telah menyumbang perbelanjaan import terkumpul sebanyak RM1.86 bilion kepada ekonomi Malaysia, sepanjang tiga tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Anwar memaklumkan melalui 486 projek disertai Jerman, pelaburan bernilai RM45.69 bilion telah dilaksanakan, tahun lalu.

Anwar berkata ia berjaya mewujudkan lebih 49,000 peluang pekerjaan.

Nilai dagangan Malaysia dengan Jerman bagi 2023 berjumlah RM63.5 bilion, dengan terdapat peningkatan 1.8 peratus nilai eksport kepada RM30.56 bilion pada tahun 2022.

Dalam pada itu, pertemuan Anwar dengan kepimpinan tertinggi Jerman, berjaya memberi pandangan berbeza negara itu terhadap isu Gaza.

Kedua-dua negara bersetuju tentang keperluan untuk menghentikan serangan di Gaza.

"Tentang naratif barat yang saya anggap tidak adil bagi rakyat yang tertindas dan dijajah sejak sekian lama.

"Kenyataan itu mendapat liputan meluas bukan sahaja di Jerman, tetapi seluruh dunia.

"Jerman bersetuju dengan pelaksanaan gencatan senjata kekal dan penyelesaian dua negara perlu dilaksanakan bagi mencapai keamanan di Palestin," kata Anwar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM