fb fb fb fb fb

Potensi besar kopi, Perak sasar jadi pengeluar utama

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 2 Disember - Perak serius untuk menjadi pengeluar utama kopi negara berikutan permintaan tinggi terhadap produk pertanian itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kebanjiran pengusaha minuman kopi di negeri itu memberi idea kepada kerajaan negeri untuk memanfaatkan peluang tersebut.

Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja dapat menjenamakan negeri malah memberi pulangan ekonomi kepada petani selain usahawan.

"Saya dengar kata ramai orang yang naik ETS daripada Kuala Lumpur ke Ipoh setiap pagi hanya untuk bersarapan. Mengapa kita tidak jadikan dia satu acara contohnya setiap pagi mereka datang ke Ipoh untuk menikmati kesegaran kopi Ipoh kita jenamakan kopi itu Ipoh kopi atau Perak Kopi itu maksud saya jadi ia boleh dilakukan dan saya percaya tanah di Perak ini subur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Karnival Kopi Perak: Cherita Secangkir Kopi, di sini.

Tambah Saarani, cadangan berkaitan perkara itu akan dibincang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN