fb fb fb fb fb

Portal NFP berjaya kurangkan tempoh jejak dana kepada 30 minit

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Penubuhan Portal Anti-Penipuan Kebangsaan (NFP) sejak April lalu berjaya mengurangkan tempoh menjejak dana yang dicuri sebanyak 75 peratus, iaitu daripada beberapa jam kepada hanya 30 minit.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata melalui portal tersebut, jumlah dana yang dibekukan juga menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 28 peratus.

“Operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) kini dilengkapi dengan automasi menyeluruh untuk menguruskan laporan penipuan, mengesahkan dan menjejak dana yang dicuri, serta berkongsi amaran awal antara institusi kewangan bagi membolehkan tindak balas pantas diambil,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Hui Ying, setakat ini keupayaan institusi kewangan untuk mengenal pasti akaun keldai turut meningkat sebanyak 14 peratus.

Selain itu, terdapat penurunan dalam kes penipuan phishing dan malware yang dilaporkan kepada NSRC sejak penubuhan portal tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN