JOHOR BAHARU, 26 Jun-Polis mengesahkan kejadian sebuah motosikal terbakar sepenuhnya di laluan motosikal Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru berlaku kira-kira pukul 1.00 tengah hari, pada 23 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata pihaknya turut menerima satu video tular di media sosial yang dimuat naik Muhamad Fuad memaparkan kejadian itu, pagi tadi.
Ketika kejadian, dua anggota trafik BSI yang sedang membuat rondaan, telah melihat asap tebal dan bergegas ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada pukul 1.45 petang.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Sebelum ini, tular sebuah video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook iaitu Muhamad Fuad yang memaparkan motosikal yang ditunggangi bersama isteri musnah dijilat api.