fb fb fb fb fb

Polis rakam keterangan 19 individu berhubung kes anak Rafizi

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Seramai 19 individu telah dirakam keterangan berkaitan siasatan kes anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang diserang di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata antara yang dipanggil untuk diambil keterangan termasuk ahli keluarga Rafizi, pemandu, pekerja serta beberapa individu berkaitan.

Pihak polis juga telah mengambil serta sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terbabit masih menunggu laporan kimia daripada pihak hospital berkaitan cecair yang dipercayai disuntik ke atas mangsa.

"Seperti sedia maklum bahawa perkara ini memanglah melibatkan dua orang penunggang motosikal, jadi kita tidak dapat kenal pasti mereka memakai topi keledar dan sebagainya, CCTV pun sudah kita ambil dan siasatan sedang dijalankan.

"Begitu juga beberapa perkara yang perlu kita kenal pasti setakat ini masih lagi berjalan, segala siasatan-siasatan yang berkaitan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khalid turut mengulas berkaitan dakwaan mengenai ugutan yang turut diterima oleh isteri Rafizi.

Katanya, setakat ini siasatan mendapati nombor telefon yang digunakan bagi tujuan tersebut telah didaftarkan atas nama seorang warga asing dan polis masih berusaha mengenal pasti individu terbabit.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN