
KOTA BHARU, 16 Februari – Polis Kelantan menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan perjalanan ke negara jiran, Thailand bagi mendapatkan juadah berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan demi keselamatan diri.
- Polis Kelantan menasihatkan orang ramai mengelak ke Thailand untuk juadah berbuka demi keselamatan sepanjang Ramadan.
- Hampir setiap hari dilaporkan insiden letupan di selatan Thailand yang boleh mengancam keselamatan orang awam.
- Juadah berbuka di sini banyak dan harganya hampir sama, jadi tidak perlu menyeberang ke negara jiran.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata nasihat itu dikeluarkan berikutan hampir setiap hari pihaknya menerima laporan berhubung insiden letupan di selatan Thailand yang berpotensi mengancam keselamatan orang awam.
“Saya menasihatkan rakyat Malaysia, khususnya penduduk Kelantan, supaya tidak perlu ke seberang semata-mata untuk mencari juadah berbuka. Setiap hari ada laporan letupan dan ia boleh menjejaskan keselamatan. Juadah berbuka di sini juga banyak dan harganya hampir sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Superintendan Polis dan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi, Ketua Polis Daerah Machang serta Ketua Polis Daerah Pasir Puteh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan tujuh letupan kecil menggegarkan dua daerah di wilayah bergolak Narathiwat pada awal pagi Ahad lalu dalam siri serangan yang dipercayai bertujuan mencetuskan ketegangan menjelang Ramadan.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, namun beberapa buah kedai serta sebuah motosikal mengalami kerosakan.