fb fb fb fb fb

Polis nafi anggota URB punca nahas dua motosikal

KEPALA BATAS, 16 Oktober- Polis menafikan nahas membabitkan dua motosikal di Jalan Perusahaan Lokan yang tular di media sosial sejak semalam, berlaku akibat dikejar polis dari Unit Ronda Bermotosikal (URB).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Mohd Radzi Ahmad berkata, berdasarkan siasatan, insiden itu dipercayai berlaku pada pukul 5.20 petang Rabu lepas dan tiada aksi mengejar oleh anggota URB terhadap seorang daripada penunggang motosikal hingga menyebabkan rempuhan.

"Ketika kejadian anggota polis URB itu sedang menjalankan tugas rondaan dan dalam perjalanan menghala Jalan Sungai Dua melalui Jalan Sungai Lokan, berdasarkan rakaman video tular itu juga jelas menunjukkan mangsa (penunggang motosikal) telah memotong motosikal anggota URB sebelum merempuh sebuah lagi motosikal," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, anggota URB berkenaan memberi bantuan kepada kedua-dua mangsa dengan turut membuat kawalan trafik di lokasi kejadian.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

(Tangkap layar video yang tular di media sosial berhubung nahas 
dua buah motosikal di Jalan Perusahaan Lokan pada Rabu)

Menurutnya orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian tanpa usul periksa berhubung kejadian itu sehingga menimbulkan kegusaran orang lain.

Semalam, tular video berdurasi 40 saat memaparkan nahas dua motosikal yang didakwa berpunca daripada anggota URB mengejar penunggang motosikal.

Ia turut menyebabkan ramai pengguna laman sosial mengecam anggota URB terbabit.

Media Baharu