
BACHOK, 26 Mac – Polis Daerah Bachok sedang mengesan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Tepus Gunong sejak 19 Mac lalu.
- Polis Daerah Bachok mengesan seorang lelaki OKU mental yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Tepus Gunong.
- Laporan dibuat oleh abangnya di Balai Polis Gunong pada 21 Mac kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
- Ciri: tinggi kira-kira 168 cm, berat kira-kira 80 kg, kulit sawo matang, berjambang dan berambut lurus.
- Orang ramai diminta hubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok 09-7788222 sekiranya mempunyai maklumat.
Ketua Polis Daerah Bachok, Penguasa Polis Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat oleh abangnya di Balai Polis Gunong pada 21 Mac kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Lelaki berkenaan, Wan Mohd Azwan Wan Mohamad Abdul Rawi, 40, masih belum pulang ke rumah dan gagal dihubungi setakat ini. Mangsa mempunyai ketinggian kira-kira 168 sentimeter dengan berat 80 kilogram, berkulit sawo matang, berjambang serta berambut lurus.
“Ketika keluar dari rumah, mangsa dipercayai memakai jaket, namun butiran lanjut pakaian tidak dapat dipastikan,” jelasnya menerusi satu kenyataan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di talian 09-7788222 bagi membantu siasatan.
Polis turut meminta orang ramai tampil menyalurkan maklumat sekiranya terlihat individu berkenaan bagi membantu usaha mengesannya.