
JOHOR, 26 Februari – Satu kertas siasatan dibuka berkaitan kes penyalahgunaan imej Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dipercayai bertujuan memperdaya orang ramai.
- Polis Johor buka siasatan selepas laporan video TikTok gunakan imej Agong untuk tujuan penipuan.
- Akaun TikTok dipercayai palsu dan dicipta khusus untuk memuat naik kandungan menipu.
- Kes disiasat bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan dibuat semalam selepas pengadu menonton satu kandungan video di aplikasi TikTok yang memaparkan kononnya pemberian bantuan kewangan kepada orang ramai.
“Siasatan awal mendapati akaun TikTok berkenaan dipercayai palsu dan dicipta khusus untuk memuat naik video berunsur penipuan tersebut.
“Perbuatan ini bukan sahaja bertujuan memperdayakan orang ramai, malah secara tidak langsung mencemarkan imej institusi diraja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Polis tidak menolak kemungkinan wujud akaun media sosial lain menggunakan modus operandi sama, termasuk melibatkan personaliti berprofil tinggi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.