JOHOR BAHRU, 27 November - Polis Johor melupuskan 322.13 kilogram dadah dan 1,562.60 liter cecair dadah bernilai RM5.43 juta, hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua barang kes berkenaan adalah hasil rampasan dan tangkapan dari tahun 2000 hingga 2022.
Katanya, semua dadah yang dirampas akan dilupuskan dan dimusnahkan mengikut proses pelupusan barang kes yang ditetapkan.
"Melalui pelupusan ini juga, polis Johor berjaya menyelesaikan 3,214 kes dari tahun 2000 hingga 2022.
"Pada tahun 2022, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor melupuskan 301.54 kilogram dadah dan 642.37 liter cecair dadah bernilai RM6.11 juta,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini.
Dari Januari hingga 20 November 2023, seramai 15,167 orang diberkas atas pelbagai kesalahan dadah di Johor.
Ia melibatkan rampasan keseluruhan 4.65 tan bernilai RM33.77 juta manakala nilai sitaan RM13.15 juta.