fb fb fb fb fb

Polis enggan terima laporan mangsa keganasan rumah tangga, KPWKM akan bincang dengan KDN

PUTRAJAYA, 28 Mac - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai keengganan segelintir anggota polis menerima laporan berhubung aduan sesetengah mangsa keganasan rumah tangga dengan alasan itu adalah masalah keluarga.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, perkara tersebut akan dibawa dalam libat urus yang sentiasa diadakan dengan KDN.

Jelasnya, libat urus tersebut sentiasa diadakan kerana adanya unit siasatan bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM)yang membabitkan wanita dan kanak-kanak. Selain, kedua-dua kementerian sentiasa mempunyai hubungan yang baik.

(Datuk Seri Rina Harun berucap semasa pelancaran Buku Wanita Bangkit)

'Sekiranya berlaku keganasan rumah tangga dan ada luka sebagai contoh, mereka boleh terus pergi terus ke hospital kerana laporan daripada hospital akan dapat diguna pakai supaya pihak polis tidak boleh menafikan laporan yang dibuat oleh mangsa", katanya dalam sidang media selepas melancarkan Buku Wanita Bangkit, di sini hari ini.

Melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita boleh mendapatkan perintah Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) bagi mengasingkan suami dan isteri sekiranya mereka didera oleh suami ataupun pelakunya.

"Kita boleh mendapatkan perintah ini supaya mereka ini dapat diasingkan supaya tidak terus menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Menurut beliau, kementeriannya juga mempunyai pelbagai talian yang boleh dihubungi oleh mangsa keganasan rumah tangga untuk mendapatkan bantuan seperti Talian Kasih dan Talian Family Care di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Sebelum ini, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (AKRT) telah dikuatkuasakan bagi mengurus dan melindungi mangsa keganasan rumah tangga.

Media Baharu