
LABUAN, 5 Mac – Konsep ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ terus menjadi tunjang dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara polis dan komuniti, di samping meningkatkan kehadiran anggota di lokasi tumpuan awam.
- Konsep "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada" terus diperkukuh melalui hubungan strategik antara polis dan komuniti.
- PDRM komited dengan pendekatan mesra komuniti untuk membina keharmonian dan meningkatkan keyakinan orang awam.
- Program outreach termasuk lawatan berkala dan pengagihan bubur lambuk, melibatkan pegawai serta anggota turun padang.
Pendekatan itu disifatkan sebagai langkah positif dalam membina hubungan harmoni serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan kepolisan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pendekatan mesra komuniti yang memberi manfaat kepada semua pihak.
“Terutama di Labuan ini, sekiranya ada pergerakan untuk meninggalkan kediaman yang masa yang agak lama, boleh mengunjungi di mana-mana balai-balai berdekatan dengan kediaman mereka untuk melaporkan dan mengisi borang supaya sistem ini kita boleh mengedarkan kepada barisan hadapan kita untuk mereka membuat lawatan yang lebih kerap di kediaman-kediaman yang ditinggalkan”, ujar beliau demikian kepada pemberita pada Program “Outreach” Pengagihan Bubur Lambuk di Bazar Ramadan Dataran Labuan di sini.
Program itu turut menyaksikan pengagihan sebanyak 500 pek bubur lambuk kepada peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Dataran Labuan. Turut serta dalam program tersebut adalah pegawai kanan serta anggota pelbagai pangkat yang turun padang menyantuni masyarakat.