
KUALA LUMPUR, 5 Mac -Generasi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) diyakini mampu mengangkat semula prestasi institusi itu selepas melalui tempoh mencabar sebelum ini.
- Generasi baharu FELDA tunjuk kesungguhan dan profesionalisme untuk memperbaiki prestasi serta melakar sejarah baharu.
- Penilaian dalaman dan pasukan khas meneliti organisasi bagi menjamin transformasi dan kejayaan berterusan.
- Pengalaman mencabar dijadikan pengajaran; fokus pada pembaharuan kreatif, bertanggungjawab dan menjaga kebajikan peneroka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian terkini yang ditunjukkan pengurusan serta warga kerja FELDA membuktikan wujud kesungguhan bagi memperbaiki prestasi dan melakar sejarah baharu.
“Dan tahun ini saya datang dengan perasaan yang lebih lega dan positif kerana pengarahan yang kita lakukan tahun lalu untuk mencari hala tuju baru, mengangkat kedukan, memperbaiki prestasi dan menoleh ke depan, meninggalkan legasi yang kadang-kadang merumitkan,” beliau berucap semasa sesi penyampaian amanat kepada warga FELDA, di ibu negara.
Katanya, penilaian dibuat bukan sahaja melalui pengurusan dalaman tetapi juga pasukan khas yang dibentuk bagi meneliti secara menyeluruh keadaan organisasi tersebut.
“Setelah melihat itu semua, saya melihat luar biasa dekat, kesungguhan, semangat, peluang profesional dan pekerja luar biasa untuk mahu mengangkat martabat dan menjamin kejayaan,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata, sekiranya semua pihak terus beriltizam dan fokus terhadap agenda pembaharuan, FELDA berupaya mencipta sejarah baharu.
Beliau turut menegaskan, pengalaman yang mencabar sebelum ini seharusnya dijadikan pengajaran untuk membina masa depan yang lebih kukuh melalui pendekatan yang kreatif dan bertanggungjawab.
“Runtuh itu boleh membinasakan. Runtuh itu boleh mengajar kita. Pertama, jangan ulang sebab usaha yang mengakibatkan keruntuhan itu ialah kerakusan, tamak haloba yang menyebabkan destruction,” katanya lagi.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, keistimewaan FELDA berbanding syarikat lain adalah peranannya bukan sekadar entiti ekonomi tetapi juga institusi sosial yang menjaga kebajikan peneroka.