KUALA LANGAT, 8 Jun- Kerajaan akan menyediakan pembiayaan tambahan bagi mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pengumuman itu akan dapat meningkatkan penyertaan masyarakat terutama belia menceburi bidang berkenaan.
Katanya, peruntukan tersebut akan dapat memanfaatkan oleh kira-kira 13,000 orang pelajar TVET.
"Saya harap setinggi-tingginya dengan anak-anak TVET, pelatih, pensyarah serta tenaga pengajar supaya lihat TVET mengikut kaca mata 'teropong baharu'... bahawa TVET akan menentukan Malaysia terangkat sebagai negara hebat, industri berteknologi tinggi dan (pakar) kecerdasan buatan (AI) pada masa depan.
"Saudara dan anak-anak yang akan menentukan sama ada kita punyai keupayaan itu," katanya ketika berucap semasa merasmikan Sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini hari ini.
Jelas Anwar, bidang TVET kini berada pada landasan yang betul dan wajar diberikan perhatian memandangkan ia selari dengan kemajuan negara yang mementingkan kemahiran keterampilan, selain penekanan ke arah teknologi digital dan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0.