fb fb fb fb fb

PM umum cadangan penambahbaikan gaji penjawat awam Mei depan

Penjawat awam

KUALA LUMPUR, 19 April - Cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan diumumkan pada perhimpunan Hari Pekerja pada Mei depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menegaskan ia selari dengan komitmen kerajaan untuk menambah baik struktur gaji penjawat awam disebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia.

Perkara itu dimaklumkan beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 hari ini bagi membincangkan secara lebih lanjut berhubung strukturt gaji penjawat awam.

"Alhamdulillah, mesyuarat hari ini hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam, yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

"Insya-Allah, cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan saya umumkan pada perhimpunan Hari Pekerja nanti.

"Saya ingin tegaskan komitmen Kerajaan untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu media melaporkan, kerajaan akan menggunakan pendekatan “fast track” dalam meluluskan pelaksanaan skim gaji baharu penjawat awam, berbanding jangkaan akhir tahun ini.

"Semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat," tambahnya lagi.

GRACE AISYAH KEDAYAN