fb fb fb fb fb

PM tinjau pelaksanaan SejaTi MADANI di Bagan Serai

Anwar Ibrahim (kanan) menyaksikan demonstrasi penggunaan dron bagi meracun dan membaja sawah padi yang diperkenalkan oleh Mohd Arshad Sabri, Pengerusi JPKK Kampung Tebuk Haji Dollah (dua kanan)/RTM

BAGAN SERAI, 14 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meninjau lokasi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) di Kampung Tebuk Haji Dollah di sini.

Ketibaan beliau pada pukul 6.38 petang diiringi Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam lawatan kira-kira 10 minit itu, Perdana Menteri diberi taklimat mengenai pelaksanaan projek yang bermula pada September tahun lalu dan manfaatnya kepada komuniti setempat.

Program yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tebuk Haji Dollah itu memperkenalkan perkhidmatan penggunaan dron bagi meracun dan membaja sawah padi.

Teknologi itu berjaya menjimatkan masa petani kepada hanya 15 minit berbanding 90 minit sebelum ini.

Pengerusi JPKK Kampung Tebuk Haji Dollah, Mohd Arshad Sabri berkata inisiatif itu bukan sahaja menarik lebih ramai pelanggan tetapi turut membantu pesawah mengurangkan kos operasi mereka.

"Kami menawarkan pakej lebih murah berbanding harga dron persendirian dan matlamat utama kami adalah untuk membantu para pesawah mengurangkan kos serta meningkatkan kecekapan pertanian," katanya.

Projek itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkasa sektor pertanian melalui penggunaan teknologi bagi meningkatkan hasil dan kesejahteraan komuniti luar bandar.

SITI AISHAH MD ISA