fb fb fb fb fb

PM teruskan tradisi sambutan Aidilfitri bersama rakyat di lapan negeri

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meneruskan tradisi Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI pada tahun ini dengan meraikan hari lebaran bersama-sama rakyat di lapan negeri.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah, Perdana Menteri akan berkunjung ke Melaka bagi majlis sambutan itu yang juga diangkat sebagai penganjuran Peringkat Kebangsaan pada 5 April.

Destinasi seterusnya adalah Selangor pada 6 April, Pahang (11 April), Kelantan dan Pulau Pinang (12 April), Sarawak (19 April), Perak (25 April) dan Perlis (27 April).

“Seperti tahun lalu, Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI akan dianjurkan bersama-sama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai tuan rumah.

“Insya-Allah, YAB Perdana Menteri akan hadir bersama dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri berkenaan,” katanya pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia.

Lokasi tepat setiap majlis akan dimaklumkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri, yang bertindak sebagai penyelaras induk acara ini.

Perdana Menteri turut menjemput rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan budaya untuk hadir memeriahkan majlis tersebut.

Sambutan Aidilfitri MADANI adalah wadah penting untuk memperkukuh nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan muhibah yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia sejak sekian lama.

ROSLINA BINTI DIN