KUALA LUMPUR, 31 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim teruja menyambut kehadiran Perdana Menteri China Li Qiang yang dijangka melawat Malaysia bagi meraikan sambutan jubli emas antara Malaysia-China.
Anwar berkata, Malaysia dan China telah membentuk semula landskap geopolitik Asia pada lima puluh tahun yang lalu.
"Pada 31 Mei 1974, Malaysia dan China telah memulakan hubungan diplomatik antara kedua negara.
"Malaysia kekal dengan pendirian menjadi sebagai negara bukan sosialis pertama di Asia Tenggara untuk merapatkan jurang ini.
"Walaupun terdapat alasan yang jelas untuk mengelak jurang perbezaan ideologi kami, perbezaan yang nampak tidak selari - pemimpin kita terdahulu berani mengambil langkah untuk berfikir di luar kebiasaan dan bertindak berani.
"Langkah yang berani ini telah berkembang menjadi satu perkongsian yang hebat dan bermanfaat," katanya menerusi hantaran di Facebook sempena ulang tahun Malaysia-China yang ke-50 hari ini.
Ujar beliau, kerajaan MADANI komited untuk memupuk hubungan penting ini demi kemakmuran rakyat dan seluruh rantau ini.
"Saya teruja untuk menerima lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia untuk meraikan peristiwa bersejarah yang telah tercipta sejak 1974 ini," katanya.