PM tekankan lagi prinsip keadilan, tolak penyelewengan

Foto Facebook Anwar Ibrahim

AMPANG, 7 Februari- Prinsip keadilan dan penolakan terhadap sebarang bentuk penyelewengan kekal menjadi asas penting dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan tegas pada prinsip keadilan dan tidak akan berkompromi dengan individu yang menyeleweng atau merompak kekayaan negara.
  • Perpaduan kaum Melayu, Cina dan India dilihat sebagai kekuatan utama untuk menegakkan keadilan dan kemakmuran negara.
  • Seruan sokongan terhadap usaha reformasi bagi memastikan negara bebas daripada salah guna kuasa dan berada di landasan tepat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berpegang teguh kepada prinsip itu dan tidak akan berkompromi dengan individu yang menyeleweng atau merompak kekayaan negara.

Tambahnya, perpaduan pelbagai kaum menjadi kekuatan utama dalam menegakkan keadilan dan memastikan kemakmuran negara terus terpelihara.

“Saya lihat sendiri ramai Melayu, Cina dan India bergabung dalam satu pasukan padu untuk menegakkan keadilan. Saya singgung hal ini kerana ia tidak mudah, lihat sahaja sejarah negara-negara luar yang pernah berhadapan dengan perpecahan akibat kebencian antara kaum,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Selangor di sini hari ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat turut menyanggah tindakan segelintir pemimpin yang berpura-pura memperjuangkan bangsa, namun pada masa sama mengaut kekayaan peribadi.

Datuk Seri Anwar juga menyeru agar semua pihak memberi sokongan terhadap usaha reformasi demi memastikan negara kekal berada di landasan tepat dan bebas daripada gejala salah guna kuasa.