
IPOH, 4 April – Kerajaan memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) tidak akan diadakan dalam masa terdekat, sebaliknya tumpuan penuh akan diberikan kepada usaha menstabilkan ekonomi negara.
- Perdana Menteri menyeru hentikan politik, utamakan usaha menyelamatkan negara dan hadapi cabaran bersama.
- Fokus pentadbiran pada mendepani cabaran global yang menjejaskan ekonomi domestik dengan pendekatan proaktif.
- Kerajaan melaksanakan langkah kawal kos sara hidup serta pastikan bekalan dan harga bahan api terkawal demi kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus utama pentadbiran ketika ini adalah untuk mendepani pelbagai cabaran global yang memberi kesan kepada landskap ekonomi domestik.
“Saya tidak akan ada pilihan lain dalam satu dua bulan ini, sabar sekejap. Sekarang ini kerja, enough of politics (cukup-cukuplah berpolitik). Bangun selamatkan negara kita.
“Ini bukan soal pertarungan politik, ini soal kita menghadapi cabaran dan menyelamatkan negara,” katanya ketika ditemui ketika berucap pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah, disini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk terus berpolitik, sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu dalam agenda memulihkan negara.
Menurut beliau, kerajaan sedang giat melaksanakan pelbagai langkah proaktif termasuk mengurus kos sara hidup serta memastikan bekalan dan harga bahan api kekal terkawal demi kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat agar memahami situasi semasa dan bersama-sama kerajaan mengharungi cabaran ekonomi yang sedang melanda.