
PUTRAJAYA, 27 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada 10 pengamal media termasuk veteran yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup, bagi meringankan beban menjelang Aidilfitri.
- Perdana Menteri menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada 10 pengamal media termasuk veteran yang menghadapi masalah kesihatan dan kesempitan hidup.
- Majlis berbuka puasa itu turut diisi tazkirah Ramadan dan interaksi Perdana Menteri dengan penggiat seni serta pempengaruh hadir.
- Sumbangan menzahirkan penghargaan kerajaan terhadap peranan pengamal media sebagai rakan strategik menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat.
Beliau hadir ke Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama penggiat media dan pempengaruh di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Ketibaan beliau diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Majlis dimulakan dengan tazkirah bertajuk Ramadan: Fastabiqul Khairat (Berlumba Mengejar Kebaikan) yang disampaikan Ustaz Harryanto Rizal Rokman.
Sementara menunggu waktu berbuka, Perdana Menteri turut meluangkan masa menyantuni penggiat media dan pempengaruh yang hadir.
Pengamal media yang menerima sumbangan pada majlis itu ialah Ahmad Muliady Ab Majid daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Norlee Mohd Sapari (Sinar Harian), Nasri Abdullah (Berita Harian), Yusman Yunus (Utusan), Md Sharif Haron (New Straits Times), Shukri Mohamad (Media Selangor), Muhammad Fauzi Mohamed (Sumber Kini), Shaukei Kahar (RTM), Nurfarahin Jamsari (Media Prima) dan Shahril Azman Mohd Zain (Media Mulia).
Sumbangan itu mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap peranan pengamal media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail, Pengarah Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan, Timbalan Pengarah Berita TV, Dr Haida Baba Zain, Timbalan Pengarah Berita Radio, Azmah Ab. Wahab dan Ketua Pemberita, Mohd Yunus Mohd Nor.