KUALA LUMPUR, 3 Ogos- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada majlis jamuan malam ini sebelum mengakhiri lawatannya ke Malaysia pada Jumaat.
Majlis itu berlangsung di Malaysian Petroleum Club, Menara Berkembar Petronas yang turut dihadiri Raja Permaisuri Pengiran Anak Saleha dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar.
Majlis itu diadakan sempena lawatan tiga hari baginda ke Malaysia bagi menghadiri Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam ke-24 di ibu negara.
Konsultasi tahunan itu adalah acara peringkat tinggi bagi Malaysia dan Brunei selain mengukuhkan hubungan Diraja yang telah terjalin sejak sekian lama.
Ini memberi peluang kepada pemimpin kedua-dua negara untuk meneliti dan mengkaji kemajuan hubungan dua hala, selain menjadi mekanisme bagi perbincangan pelbagai isu yang menyentuh kepentingan bersama, serantau dan antarabangsa.
(Anwar Ibrahim menyambut Sultan Hassanal Bolkiah ketika menghadiri makan malam/BERNAMA)