PM pulang naik ETS3 ke ibu negara usai lawatan santai ke Johor

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melambaikan tangan sebaik menaiki ETS di JB Sentral hari ini selepas menamatkan lawatan santai bersama keluarga di Johor sejak semalam. / BERNAMA

JOHOR BAHRU, 2 Februari – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa syukur selepas dua hari menikmati lawatan santai bersama keluarga di Johor sambil menyelami khazanah sejarah dan budaya negeri selatan tanah air itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri pulang ke Kuala Lumpur menaiki perkhidmatan ETS dari JB Sentral selepas lawatan santai keluarga di Johor.
  • Diiringi isteri dan Ketua Pegawai Operasi KTMB, beliau tiba di stesen awal petang untuk berlepas.
  • Melawat Zoo Johor, beramah mesra dengan pengunjung dan menekankan kepentingan zoo sebagai aset pendidikan dan rekreasi.
  • Lawatan termasuk lawatan ke Muzium Diraja Abu Bakar dan pujian terhadap usaha naik taraf warisan serta tarikan pelancongan Johor.

“Alhamdulillah Johor, (selesai) melawat,” katanya ringkas ketika ditemui Bernama sebelum berlepas pulang dari Stesen JB Sentral ke Kuala Lumpur.

Turut menemani beliau isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sambil diiringi Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Afzar Zakariya.

Perdana Menteri dan keluarga tiba di JB Sentral pada 3.27 petang sebelum dijadualkan menaiki perkhidmatan ETS pada 4 petang.

Anwar turut meluangkan masa berbual serta bergambar bersama pengunjung dan kakitangan di terminal berkenaan.

Beliau tiba di Johor Bahru kira-kira 3.10 petang semalam dengan menggunakan perkhidmatan sama.

Perdana Menteri meluangkan masa melawat Zoo Johor bersama cucu-cucunya, beramah mesra dengan pengunjung dan menerima penerangan mengenai perkembangan semasa premis tersebut.

Beliau turut berharap agar zoo berkenaan terus diperkasakan sebagai aset rekreasi, pendidikan dan warisan negeri yang memberikan manfaat kepada rakyat.

Pagi tadi, Perdana Menteri melawat Muzium Diraja Abu Bakar yang menghimpunkan khazanah diraja serta warisan sejarah dan kebudayaan Kesultanan Johor.

Anwar dalam hantaran Facebook memuji usaha Kerajaan Negeri Johor atas ikhtiar berterusan dalam menaik taraf aset warisan serta memperhebat tarikan pelancongan negeri sejajar aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ2026).- BERNAMA