KUALA LUMPUR, 25 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bangga terhadap komitmen ditampilkan semua pihak dalam menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Beliau turut kagum dengan kerjasama baik pelbagai Kementerian memastikan persidangan ini berjalan lancar.
“Saya melihat sendiri persiapan yang telah dilakukan dan berasa bangga dengan pasukan kita. Pegawai-pegawai daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Luar, MITI, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, PDRM dan lain-lain telah bertungkus lumus bekerja sekian lama bagi memastikan kelancaran program, termasuk dari segi logistik yang saya lihat sangat teliti.
“Mudah-mudahan semuanya dalam keadaan baik dan kita sudah cuba berbincang semua isu kerana sidang kemuncak ini lebih rumit memandangkan kita ada ASEAN, GCC dan China,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Pra-Majlis ASEAN di sini, malam tadi.
Turut menghadiri mesyuarat, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula Isnin memberi fokus kepada pelbagai perkara termasuk kerjasama serantau, kestabilan geopolitik dan integrasi ekonomi.