fb fb fb fb fb

PM puas hati prestasi Kabinet, akui punya ruang penambahbaikan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemui dalam sesi media bersama wartawan tempatan dan luar negara/Foto PMO

KUALA LUMPUR, 21 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kepuasan terhadap prestasi keseluruhan Menteri Kabinet sepanjang dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani.

Beliau mengakui bahawa meskipun prestasi kerajaan sudah baik, namun masih ada aspek tertentu yang boleh diperbaiki untuk memastikan perkhidmatan kerajaan memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat.

Katanya, sepanjang tempoh itu, beliau melihat beberapa menteri menonjol dengan prestasi yang sangat baik, namun terdapat juga menteri yang sekadar menunjukkan prestasi sederhana.

"Apakah saya puas hati dengan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri, jadi saya jawab masih ada ruang untuk perbaiki," katanya.

Walaupun begitu, Anwar menegaskan bahawa satu perkara yang beliau berpuas hati ialah usaha menghentikan amalan rasuah dan salah guna kuasa.

"Tapi saya puas hati satu perkara, walaupun orang bangkit soal rasuah, kes ini, kes itu, yang penting sejak dua tahun ini saya tak izinkan amalan lama rundingan terus, curi komisen... itu saya hentikan," jelas beliau.

Anwar berkata demikian dalam sidang media bagi menjawab pelbagai soalan berkaitan kerajaan dan isu semasa bersama wartawan dalam dan luar negara.

Turut hadir dalam sesi pertemuan itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Anwar, yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan, menekankan bahawa kerajaan di bawah pimpinannya sangat mengutamakan agenda tadbir urus yang baik.

"Orang tak mahu dengar isu tatakelola, tapi bagi saya ini masalah terbesar. Bagi saya tatatekola ini paling penting sebab kebocoran, rasuah, hilang dana puluh-puluh bilion bayar hutang yang tidak sepatutnya kita bayar,” kata beliau.

Dalam pada itu, menerusi hantaran di Facebooknya, Anwar menyifatkan media adalah watak penting dalam memberi kritikan, teguran, pandangan, ulasan, dan pencerahan dalam meraikan roh demokrasi yang bermakna di negara ini.

"Sesi ini penting supaya penjelasan dan maklumat dapat diberikan khususnya terkait prestasi jemaah menteri, basmi kemiskinan tegar, dasar luar dan ekonomi negara di tengah-tengah perubahan dinamik global, isu serantau dan kebangkitan ASEAN," katanya.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN