KUALA LUMPUR, 30 Ogos - Kerajaan MADANI bertekad untuk menoktahkan amalan merompak kekayaan negara dan salah guna kuasa, sambil memulakan budaya kepimpinan yang lebih bertanggungjawab.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan keterlanjuran pimpinan yang angkuh, tamak, dan rakus untuk terus berleluasa.
Menurut Anwar, perbuatan tersebut, yang dianggap sebagai pengkhianatan terhadap negara, perlu dihapuskan melalui kepimpinan yang tegas dan berintegriti.
"Keterlanjuran ini tidak harus diizinkan berterusan... Jika ditanya apa harapan saya, saya mahu menoktahkan amalan sebegitu dan memulakan budaya kepimpinan yang lebih bertanggungjawab, tidak merompak kekayaan negara dan salah guna kuasa," katanya di hadapan kira-kira 7,000 tetamu pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 malam tadi.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan di bawah pimpinannya akan terus berusaha memastikan integriti dan ketelusan menjadi tunjang utama dalam pentadbiran negara.