PM mahu runding semula dengan Anthony Loke berkaitan peletakan jawatan

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

BUKIT BARU, 12 November – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu berunding semula dengan Anthony Loke berkaitan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri belum membuat keputusan atau menerima surat peletakan jawatan Anthony Loke.
  • Cuti sementara bagi Anthony Loke dibenarkan, namun peletakan jawatan perlu dibincangkan semula.
  • Anwar puji rekod bersih dan amanah Loke serta kerja kuat membawa pelbagai inisiatif kementerian untuk manfaat rakyat.

Menurut Datuk Seri Anwar, beliau belum membuat keputusan berkaitan surat peletakan jawatan Anthony Loke yang telah diterima sebelum ini.

“Anthony Loke memang telah mengutus surat kepada saya untuk meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta. Bagaimanapun, saya selaku Perdana Menteri belum menerima peletakan jawatan tersebut.

“Sekiranya beliau mahu bercuti buat sementara waktu, itu tidak menjadi masalah. Namun, perkara berhubung peletakan jawatan perlu dibincangkan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Grand Finale Jelajah PH, Melaka Rumah Kita di Bukit Baru, di sini hari ini.

Dalam pada itu Datuk Seri Anwar turut memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Seremban itu mempunyai rekod pentadbiran yang bersih dan amanah, selain bekerja kuat membawa pelbagai inisiatif pada peringkat Kementerian Pengangkutan bagi manfaat rakyat.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar turut meluangkan masa selama 45 minit dengan menyantuni pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek pada program Jom Sembang Bersama PMX di Warung Jalal dan Cik Ida, Ayer Molek.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.