PM Anwar di kedudukan ke-13 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia

Foto RISSC

KUALA LUMPUR, 13 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki tempat ke-13 dalam senarai 500 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • RISSC, berpangkalan di Amman Jordan, menerbitkan 'The Muslim 500' edisi 2027.
  • Pengaruh Anwar merangkumi kepimpinan politik, pembangunan ekonomi dan peranan diplomasi Malaysia di pentas antarabangsa.
  • Pendekatan Malaysia MADANI diperkenalkan 2022 menggabungkan pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab sosial serta nilai moral.
  • Inisiatif transformasi ekonomi termasuk pembangunan sektor digital, kecerdasan buatan, semikonduktor dan peralihan tenaga.

Senarai itu dikeluarkan menerusi penerbitan ‘The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims’ edisi 2027 oleh ‘The Royal Islamic Strategic Studies Centre’ (RISSC) yang berpangkalan di Amman, Jordan itu.

Menurut penerbitan berkenaan, pengaruh Datuk Seri Anwar merangkumi kepimpinan politik, pembangunan ekonomi serta peranan diplomasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Penerbitan itu mengetengahkan pendekatan Malaysia MADANI yang diperkenalkan beliau pada 2022 sebagai kerangka pentadbiran yang menggabungkan pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab sosial dan nilai moral.

Antara inisiatif yang diberikan perhatian ialah usaha transformasi ekonomi negara, termasuk pembangunan sektor digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta peralihan tenaga.

Dalam aspek diplomasi, Datuk Seri Anwar turut mendapat perhatian menerusi peranannya sebagai pengantara dalam usaha meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja pada Julai 2025 ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN.

Penerbitan itu turut menyentuh pendirian beliau dalam isu Palestin, termasuk sokongan terhadap usaha kemanusiaan di Gaza dan penyelesaian konflik secara diplomatik.

Selain itu, sumbangan Datuk Seri Anwar kepada pembangunan pemikiran Islam turut diketengahkan, termasuk penglibatan beliau dalam penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1971 serta peranannya dalam memperkukuh dialog antara agama.

The Muslim 500 merupakan penerbitan tahunan yang menilai pengaruh tokoh Islam berdasarkan keupayaan mereka memberi kesan kepada masyarakat Islam, sama ada melalui kepimpinan politik, keagamaan, pendidikan, ekonomi, kebudayaan atau bidang lain.

Edisi ke-18 itu menyenaraikan 500 tokoh Islam dari seluruh dunia, dengan 50 individu paling berpengaruh diberikan kedudukan khusus, manakala 450 lagi disenaraikan mengikut bidang pengaruh masing-masing antaranya politik, agama, pendidikan dan perniagaan.

Antara tokoh Asia Tenggara lain yang turut tersenarai dalam kelompok 50 teratas ialah Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di kedudukan ke-16, Pengerusi Nahdlatul Ulama, Yahya Cholil Staquf (ke-21) dan ulama Indonesia, Habib Luthfi Yahya (ke-31).

Dalam edisi sama, Dr Hussam Abu Safiya, pakar pediatrik dan Pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, dipilih sebagai ‘Man of the Year 2027’ atas peranannya dalam memberikan rawatan perubatan ketika konflik berterusan di wilayah berkenaan.

Sementara itu, Fatemeh Zahra Sheikhabadi dari Iran dipilih sebagai ‘Woman of the Year 2027’ selepas terselamat dalam serangan terhadap Sekolah Shajareh Tayyebeh di Minab dan menyuarakan pengalaman serta nasib kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.