fb fb fb fb fb

PM: Keanggotaan Timor Leste kukuh kerjasama ASEAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Timor Leste, Dr. Jose Ramos-Horta / Foto BERNAMA

DILI, 23 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penyertaan Timor Leste ke dalam ASEAN bakal membawa manfaat besar kepada seluruh negara anggota, merangkumi aspek geopolitik, ekonomi dan kebudayaan.

Menurutnya, penyertaan negara itu wajar mengambil kira nilai bersama yang dimiliki.

“Penyertaan Timor Leste dalam ASEAN akan membawa manfaat kepada semua negara anggota. Kita bermula dengan pertimbangan geopolitik tetapi ia boleh diperluas kepada pelaburan ekonomi dan isu kebudayaan yang akan mengukuhkan hubungan bersama.

"Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan selama ini, dan kita pasti akan meraikan keanggotaan Timor Leste ke ASEAN dengan penuh meriah,” katanya demikian selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Timor Leste, Dr. Jose Ramos-Horta, di Istana Presiden di sini.

Terdahulu, beliau disambut dengan istiadat rasmi ketibaan di perkarangan istana sebelum mesyuarat tertutup diadakan.

Perdana Menteri juga dijadual menghadiri Mesyuarat pramajlis sebelum menyertai Majlis Temu Mesra MADANI dengan diaspora Malaysia serta alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia di sebuah hotel di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD