fb fb fb fb fb

PM jumpa Presiden Mesir

Datuk Seri Anwar Ibrahim berjabat tangan dengan Abdel Fattah Al-Sisi

KAHERAH, 23 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Mesir Abdel Fattah Al-Sisi di Istana Al-Ittihadiyah, Kaherah.

Ketibaan Perdana Menteri pada pukul 12 tengah hari waktu tempatan disambut Presiden Al-Sisi sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan mesyuarat yang berlangsung lebih setengah jam.

Ia adalah mesyuarat secara bersemuka buat julung kalinya diadakan antara kedua-dua pemimpin berkenaan.

Perdana Menteri sebelum ini menyatakan hasrat untuk berbincang dengan Al-Sisi mengenai isu konflik di Gaza.

Beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Duta Besar Malaysia ke Mesir; Zamani Ismail dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mesir; Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Malaysia sebelum ini menghargai tindakan Mesir yang banyak membantu dalam memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dengan selamat melalui sempadan Rafah-Gaza.

Laluan tanpa halangan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan dan perubatan itu penting dalam membantu rakyat Palestin yang berdepan kekurangan keperluan asas susulan sekatan penuh rejim Israel.

Selepas bertemu Presiden Al- Sisi, Perdana Menteri dan delegasi mengadakan kunjungan hormat ke atas Imam Besar Al-Azhar, Prof Dr Sheikh Ahmed Muhammad Ahmed El-Tayeb.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Timbalan Imam Besar Al Azhar, Prof Dr Muhammad Abdur Rahman Ad-duwini.

Pertemuan itu dijangka bagi membincangkan hal ehwal agama Islam selain konflik di Gaza.

Al-Azhar terkenal sebagai sebuah institusi keagamaan tinggi yang ditubuhkan lebih seribu 83 tahun yang lalu dan sentiasa konsisten dengan pendekatan Wasatiyyah.

Sempena Lawatan dua hari ke Mesir juga, Perdana Menteri, menerima kunjungan hormat daripada  Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir, Dr. Ramy El Nazer

Pertemuan yang berlangsung selama 20 minit di Hotel Four Seasons, Kaherah itu sempena lawatan kerja dua hari ke Mesir.

Pertemuan itu bagi membincangkan mengenai penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat palestin di Gaza melalui sempadan Rafah.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Duta Besar Malaysia ke Mesir; Zamani Ismail, dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya; Khairul Firdaus Akhbar Khan dan Exco Mercy Malaysia, Datin Azura Ibrahim.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE