
KUALA LUMPUR, 1 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan bersama semua Menteri Besar dan Ketua Menteri, esok, bagi membincangkan kesan krisis tenaga global dan konflik Asia Barat terhadap ekonomi negara.
- Mesyuarat memberi tumpuan kepada langkah dan ikhtiar di peringkat kerajaan dan negeri menangani cabaran krisis tenaga dan kesan ekonomi.
- Keputusan mesyuarat akan dimaklumkan selepas itu melalui beberapa sidang media, termasuk oleh Timbalan Perdana Menteri.
- Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Petronas melaporkan bekalan bahan bakar masih terkawal meskipun beberapa kapal menunggu laluan Selat Hormuz.
- Harga mingguan RON95, RON97 dan diesel diumum setiap Rabu, maklumat selain pengumuman Kementerian Kewangan selepas 6 petang dianggap palsu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pertemuan itu akan memberi tumpuan kepada langkah dan ikhtiar yang boleh diambil kerajaan, termasuk di peringkat negeri bagi menangani cabaran semasa.
”Untuk makluman semua, Insya-Allah esok YAB Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri, khusus berkait isu krisis tenaga global dan kesan kepada ekonomi dalam negara, yang mana beberapa perkara akan dibincangkan serta ikhtiar ataupun langkah akan diteliti.
”Sudah pasti selepas daripada mesyuarat esok, akan ada makluman apa yang telah hasil ataupun telah diputuskan dalam mesyuarat tersebut,” katanya, dalam sidang media mingguan di Angkasapuri, Kota Media, hari ini.
Beliau berkata, beberapa sidang media juga akan diadakan selepas mesyuarat berkenaan, termasuk oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
”Dan mungkin akan ada kenyataan daripada Perdana Menteri susulan kepada mesyuarat bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Fahmi yang juga Menteri komunikasi berkata, bekalan bahan bakar negara ketika ini masih terkawal dan perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
MTEN turut menerima pembentangan terperinci daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung kedudukan semasa bekalan tenaga negara.
”Pada waktu ini, bagi bulan April hingga bulan Mei, bagi Petronas, keadaan masih terkawal, tetapi pada masa yang sama kita mengambil maklum ada beberapa kapal yang masih dalam perjalanan dan menunggu queue untuk melepasi Selat Hormuz.
”Tapi kita tidak membayar apa-apa tol, dan pada waktu ini keadaan masih terkawal,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, harga mingguan bagi bahan bakar, RON95, RON97 dan juga diesel akan diumum pada setiap hari Rabu.
Beliau berkata, sekiranya rakyat Malaysia ada menerima apa-apa maklumat mengatakan selain daripada hari Rabu selepas pukul 6 petang dan selain daripada Kementerian Kewangan, maklumat itu adalah bersifat tidak benar atau palsu.