fb fb fb fb fb

PM berhasrat perkukuh hubungan lebih erat dengan Jepun

Foto Fail/ BERNAMA

TOKYO, 15 Disember- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan tiba di sini malam ini akan berusaha memperkukuh hubungan dengan Jepun serta menarik lebih ramai pelabur dari negara itu ke Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata pada hari pertama lawatan kerja lima hari beliau ke negara itu, Anwar akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Fumio Kishida.

Kedua-dua pemimpin dijangka mengumumkan perkongsian strategik yang komprehensif, termasuk akan membuka ruang kerjasama lebih besar dalam bidang baharu.

"Pengumuman ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama antara Malaysia -Jepun pada masa akan datang termasuklah dari segi keselamatan dan keamanan, kemakmuran ekonomi, sains, teknologi dan inovasi, kemasyarakatan termasuk pertukaran budaya 'people to people exchange' serta kerjasama serantau dan antarabangsa," katanya pada sidang akhbar untuk media Malaysia di sini.

Shahril berkata pada pertemuan esok juga, kedua-dua pemimpin bakal menyaksikan pemeteraian beberapa dokumen termasuk mengenai pembangunan dan aplikasi angkasa lepas antara kedua-dua negara.

Pada sidang media sama, Ketua Pengarah, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Zanariah Zainal Abidin berkongsi beberapa aspek yang dijangka menjadi fokus dalam kenyataan bersama pemimpin ASEAN-Jepun pada sidang kemuncak peringatan berlangsung Ahad.

Ujarnya, isu perubahan iklim pasca persidangan COP 28, selain isu Palestin juga dijangka bakal dibangkitkan.

Beliau berkata Anwar mungkin juga menyentuh isu pendigitalan di ASEAN di mana ia boleh membantu memperkasa perniagaan kecil dan meningkatkan kadar penembusan Internet di kawasan luar bandar di seluruh rantau itu.

Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijangka tiba di Tokyo pada 11.50 malam ini.

Turut mengiringi beliau ke Tokyo ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI