fb fb fb fb fb

PM arah MOSTI kenal pasti 100 saintis, anjur program di 100 sekolah

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 17 Julai- Perdana Menteri Datuk Seri, Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyenaraikan 100 saintis bioteknologi untuk mengadakan program bagi menarik minat murid dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di 100 sekolah.

Sehubungan itu, beliau mahu laporan mengenai perkara itu dihantar kepadanya dalam tempoh dua minggu.

"Sekolah terbabit nanti tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, bahkan saya mahu ia meliputi institusi pendidikan di kampung dan pinggir bandar.

"Saya maklum kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang untuk adakan kerjasama lebih erat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya program pesatkan dan tingkatkan minat anak-anak muda dalam STEM berbanding sebelum ini.

"Kebimbangan saya adalah kita sebutkan dalam bidang digitalisasi, kecerdasan buatan (AI) dan bioekonomi untuk bagaimana boleh pastikan pendekatan kita ambil menjalar kepada rakyat terbanyak. Jadi, bolehlah syarikat bioteknologi, agensi dan kementerian...sebulan sekali, dua tiga jam turun ke sekolah menengah dan beri sedikit pendedahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Bioekonomi Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Menerusi penganjuran program itu, Perdana Menteri turut mahu pihak berkaitan merangka ikhtiar baharu, khususnya terkait bagaimana hendak menggarap dan memperkasa dalam bidang berkenaan yang belum berkembang dalam kalangan pemikiran rakyat.

SITI AISHAH MD ISA