fb fb fb fb fb

PM arah KPDN pastikan Skim Harga Maksimum Aidilfitri dipatuhi

Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 25 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata tempoh pelaksanaan skim tersebut bermula semalam hingga 7 April bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan pengguna dan peniaga.

Penentuan harga dibuat berdasarkan pandangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan berkaitan serta pemain industri.

Tunku Nashrul memaklumkan, Perdana Menteri sendiri akan turun padang bagi meninjau harga barangan terkawal di bawah SHMMP.

“Beliau mahu memastikan peraturan dipatuhi, termasuk keperluan meletakkan tanda harga bagi barangan kawalan, selain memastikan pengguna menikmati harga berpatutan sepanjang musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengarahkan KPDN dan KPKM untuk menggandakan pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang musim perayaan.

Orang ramai juga disaran membuat laporan kepada KPDN sekiranya berlaku sebarang ketidaksesuaian harga atau ketidakpatuhan terhadap skim tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN