KUALA LUMPUR, 22 April- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Wanita Pertama Singapura Noor Aishah Mohammad Salim, 91 tahun yang meninggal dunia hari ini.
Beliau menerusi catatan di Facebook memaklumkan pemergian Noor Aishah yang merupakan balu kepada Presiden pertama Singapura Yusof Ishak, mengusik jiwa selain menjadi tunjang kekuatan Singapura pada tahun-tahun pembentukan identiti nasional mereka.
"Puan Noor Aishah tidak sekadar pendamping kepada seorang tokoh dan pemimpin negara, tetapi merupakan ikon kesetiaan dan kemuliaan budi yang menjadi teladan kepada wanita di rantau ini. Kesederhanaan beliau ternyata menjambatani hubungan antara pemimpin dengan rakyat terbanyak.
"Sebagai seorang wanita yang turut mendampingi suami di lapangan politik, saya tentunya dapat menggarap serta menyelami pengorbanan yang dilalui oleh Puan Noor Aishah. Keupayaan beliau untuk tetap teguh dalam setiap derap langkah kehidupan amat mengagumkan," menurut hantaran itu.
Perdana Menteri berkata beliau dan seluruh rakyat Malaysia turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga almarhumah.
"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin," tambah hantaran itu.
Allahyarham Noor Aishah meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada pukul 4.28 pagi akan dikebumikan pada Selasa di Tanah Perkuburan Negara Kranji, bersebelahan pusara suaminya.