MOSCOW, 15 Mei – Hari kedua lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia dimulakan dengan menghadiri Mesyuarat Meja Bulat yang menghimpunkan 24 syarikat utama negara itu bersama dua Majlis Perniagaan yang diwakili pemimpin industri terkemuka.
Mesyuarat yang bermula pada pukul 9 pagi itu fokus kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam meningkatkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Rusia.
Dalam sesi berkenaan, beberapa syarikat dari Rusia menyatakan minat untuk meneroka potensi kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.
Ini termasuk pembuatan makanan, pertanian, teknologi, perkhidmatan logistik, pembangunan hartanah dan sektor kewangan.
Pertemuan itu turut membincangkan dagangan produk berasaskan sawit, pembuatan perabot, industri kimia dan sektor peruncitan yang dilihat berpotensi tinggi untuk dikembangkan.
Antara syarikat yang menyertai sesi tersebut ialah Oil Partners, Sportmaster dan Russian Direct Investment Fund (RDIF).
Mesyuarat turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Li Kang; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Rusia memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan dua hala serta pembukaan peluang ekonomi dan teknologi baharu antara kedua-dua negara.