PUTRAJAYA, 14 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan tertutup dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, sebagai persiapan menjelang sidang parlimen yang akan datang.
Perjumpaan tersebut bertujuan memperkukuh persefahaman serta menyelaras pendirian gabungan berhubung pelbagai isu semasa termasuk cadangan dasar percukaian, penstrukturan semula subsidi RON95, dan proses pelantikan Ketua Hakim Negara .
Kenderaan membawa Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH dilihat memasuki perkarangan Kompleks Seri Perdana pukul 4.30 petang.
Sementara itu, ketibaan kenderaan membawa ahli parlimen dan menteri PH bermula seawal pukul 3.45 petang.
Antara yang hadir termasuk Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Presiden Parti Amanah Negara yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha PH merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Turut sertai Ketua Penerangan PKR merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Perjumpaan ini turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama pemimpin lain bagi menyuarakan pandangan serta menyampaikan keperluan kawasan masing-masing secara langsung kepada Perdana Menteri.
Majlis hari ini juga merupakan kesinambungan kepada sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang telah diadakan pada 11 Julai lalu.
Perjumpaan itu mencerminkan komitmen kepimpinan PH untuk memperkukuh kerjasama antara parti gabungan, menyelaras gerak kerja, serta memperhebat usaha membina keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi kerajaan.