fb fb fb fb fb

PLFOA bantu orang asli kenal huruf, nombor

Foto BERNAMA

GUA MUSANG, 19 November- Program Pendidikan Literasi Fungsian Orang Asli (PLFOA) membantu membasmi masalah buta huruf dalam kalangan masyarakat orang asli dewasa di Kelantan.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan berkata modul pengajaran berasaskan kaedah 3M iaitu membaca, menulis dan mengira itu adalah usaha JAKOA yang berkolaborasi bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat orang asli.

Jelas Zarina, sebanyak 40 orang asli berumur antara 15 sehingga 55 tahun di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir dan Pos Blau terpilih untuk mengikuti program PLFOA pada tahun ini.

"Kita buat kelas melibatkan 40 orang peserta. 20 di Pasir Linggi dan 20 di Pos Blau. Jadi memang kita rancang dengan kerjasama KEMAS sebab ia adalah agensi pelopor kepada kelas dewasa. Kita hendak membanteras buta huruf dalam kalangan orang asli sebab rancangan kita banyak," kata Zarina kepada pemberita di sini.

Sementara itu, bagi peserta dan guru, mereka berharap program PLFOA dapat diteruskan di kawasan perkampungan mereka.

"Saya merasa gembira kerana dapat membaca, mengenali nombor. Terima kasih JAKOA. Insya-Allah kalau ada, kita ulang lagi," kata peserta, Saedah Along.

"Alhamdulillah sangat baik kalau boleh teruskan lagi PLFOA. Program ini memang bagus, daripada orang tidak mengenal huruf A itu boleh mengenal huruf dan nombor. Lepas itu mereka dapat menulis nama sendiri, saya kira ia sesuatu yang baik dan sangat berpuas hati," kata Guru PLFOA Kampung Pasir Linggi, Norhayati Ahmad Yassin.

Program PLFOA yang bertujuan membantu membasmi masalah buta huruf itu dilaksanakan sejak tahun 2019.

Sehingga kini kira-kira 200 masyarakat orang asli di Kelantan menerima manfaat daripada program PLFOA dan keluar daripada masalah buta huruf.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM