
PUTRAJAYA, 13 November – Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat negeri dan daerah di seluruh negara telah diaktifkan secara berperingkat sejak 12 November lalu bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
- NADMA koordinasi JPBN dan JPBD untuk selaraskan operasi, perkongsian maklumat, penggemblengan aset serta penyaluran bantuan.
- Semua PPS dilengkapi keperluan asas; PKTK dan aset agensi penyelamat sedia digerakkan bila-bila masa.
- METMalaysia ramal MTL hingga Mac 2027 dengan tiga hingga lima episod hujan lebat, berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah berisiko.
- Orang ramai dinasihatkan bersiap awal, kenal pasti laluan pemindahan dan muat turun MyDIMS; rujuk portal NADMA untuk maklumat sahih.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, pengaktifan pusat kawalan itu diselaraskan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
“Langkah berkenaan bertujuan memastikan operasi tindak balas bencana, perkongsian maklumat, penggemblengan aset serta penyaluran bantuan dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, NADMA turut memastikan semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilengkapi keperluan asas, manakala Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) serta aset agensi penyelamat bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.
Kesiapsiagaan itu susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang menjangkakan Monsun Timur Laut bermula 27 Oktober lalu dan berterusan sehingga Mac 2027.
Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku, sekali gus berpotensi mengakibatkan banjir terutama di kawasan berkedudukan rendah dan berisiko tinggi.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta membuat persiapan awal termasuk mengenal pasti laluan pemindahan dan lokasi PPS berhampiran.
Orang ramai turut digalakkan memuat turun aplikasi MyDIMS bagi memudahkan pemantauan maklumat amaran, perkembangan banjir serta status PPS berhampiran.
Bagi mendapatkan maklumat sahih dan terkini berkaitan bencana, orang ramai boleh merujuk portal rasmi NADMA di portalbencana.nadma.gov.my.
Sekiranya berlaku kecemasan yang memerlukan bantuan segera, orang ramai boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) di talian 03-8064 2400.