
KUALA LUMPUR, 14 Mac – Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) memandang serius ketegangan geopolitik di Asia Barat yang dijangka memberi kesan kepada industri pembinaan negara.
- Cadangan segera mekanisme Variation of Price bagi bahan binaan utama untuk mengawal kenaikan kos.
- Mengekalkan levi pekerja asing dan levi import tanpa kenaikan serta menilai semula tempoh kontrak projek terjejas.
- Langkah jangka panjang: libat urus agensi, rangsangan industri dan pengembangan penggunaan IBS serta BIM.
- Risiko utama: kenaikan harga bahan binaan, peningkatan kos pengangkutan, kerugian kontraktor dan kelewatan penyiapan projek.
Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Tertinggi Ahli Majlis PKBM pada 12 Mac lalu bagi meneliti perkembangan semasa industri serta impaknya terhadap kontraktor tempatan.
Melalui satu kenyataan bersama PKBM dan Master Builders Association Malaysia (MBAM), konflik berkenaan memberi kesan kepada ekonomi global khususnya melalui kenaikan kos bahan api dan gas yang seterusnya menjejaskan rantaian bekalan industri pembinaan.
Di Malaysia, kesannya mula dirasai melalui peningkatan harga bahan api seperti diesel serta kos logistik yang secara langsung menambah tekanan kepada kos operasi dan pelaksanaan projek pembinaan.
PKBM menjangkakan beberapa kesan utama sekiranya situasi itu berterusan termasuk kenaikan harga bahan binaan, peningkatan kos pengangkutan, risiko kerugian kepada kontraktor serta kelewatan penyiapan projek.
Selain itu, terdapat juga risiko tindakan senarai hitam terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual serta kemungkinan sebahagian kontraktor terpaksa menamatkan operasi.
Sehubungan itu, Pengarah PKBM, Datuk Dr. Azman bin Yusoff dengan sokongan Presiden MBAM, Oliver HC Wee mencadangkan beberapa langkah jangka pendek termasuk memperkenalkan segera mekanisme Variation of Price (VOP) bagi bahan binaan utama, mengkaji semula situasi semasa industri serta mengawal selia harga bahan binaan.
PKBM turut mencadangkan agar levi sedia ada seperti levi pekerja asing dan bahan import dikekalkan tanpa kenaikan serta menilai semula tempoh kontrak projek yang terjejas akibat kenaikan kos dan gangguan rantaian bekalan.
Bagi jangka panjang, PKBM mencadangkan sesi libat urus bersama agensi berkaitan bagi merangka langkah rangsangan industri seperti yang pernah dilaksanakan semasa pandemik COVID-19 serta memperluaskan penggunaan teknologi pembinaan moden seperti Industrialised Building System (IBS) dan Building Information Modelling (BIM).
“PKBM bersedia untuk mengadakan pertemuan serta perbincangan dengan pihak kerajaan dan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik sebelum keadaan menjadi lebih serius,” ujar beliau dalam kenyataan yang sama. katanya.