PJRM dilaksana secara inklusif, tidak pinggir peniaga kecil

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali/BERNAMA

KUALA LUMPUR 9 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) tidak meminggirkan peniaga kecil, sebaliknya dilaksanakan secara inklusif dengan penglibatan meluas peruncit tempatan di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan PJRM dilaksanakan secara inklusif dengan penglibatan luas peruncit tempatan bagi memastikan manfaat diagihkan adil.
  • KPDN menggalakkan penyertaan peniaga kecil termasuk kedai runcit, koperasi dan jualan komuniti dalam program PJRM.
  • Penambahbaikan PJRM akan diseimbangkan dengan objektif utama menyediakan barangan keperluan harga lebih rendah kepada rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali berkata, kementerian sentiasa membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk menjadi rakan strategik PJRM, tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan, bagi memastikan manfaat program diagihkan secara adil dan menyeluruh.

Menurut beliau, pemilihan rakan strategik dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan utama termasuk lokasi yang bersesuaian dan mudah diakses rakyat, khususnya golongan sasar yang lebih luas, selain keupayaan menawarkan pelbagai jenis barangan atau Stock Keeping Unit (SKU) bagi memenuhi keperluan pengguna.

“KPDN sentiasa menggalakkan penyertaan peruncit kecil dan sederhana termasuk kedai runcit tempatan, koperasi dan jualan komuniti, supaya manfaat PJRM dapat dinikmati oleh lebih ramai peniaga tempatan dan rakyat,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan di Dewan Rakyat semasa penggulungan perbahasan titah diraja hari ini.

“Sebagai contoh, di Perlis, sebanyak 42 operator rakan strategik PJRM terlibat pada tahun 2025 merangkumi pasar raya besar, pasar raya kecil, peruncit dan pasar awam.

“Di peringkat nasional pula, PJRM melibatkan lebih 2,100 operator, dengan majoritinya terdiri daripada pasar raya kecil dan peruncit, sekali gus membuktikan penyertaan signifikan peniaga tempatan dalam program berkenaan,” katanya.

Kerajaan beri jaminan bahawa pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) tidak pinggirkan peniaga kecil/BERNAMA

Dalam pada itu, Datuk Armizan berkata, KPDN mengambil maklum kebimbangan berhubung kesan pelaksanaan PJRM terhadap kedai runcit dan bersedia untuk menambah baik pelaksanaan program berkenaan.

Namun begitu, katanya, sebarang penambahbaikan akan diseimbangkan dengan objektif utama PJRM iaitu menyediakan barangan keperluan pada harga lebih rendah bagi membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup.

Selain itu, Armizan memaklumkan bahawa setakat Januari 2026, sebanyak 30 peratus daripada lebih 2,100 operator PJRM telah dibekalkan dengan terminal Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sekali gus membolehkan penerima membuat pembelian menggunakan bantuan berkenaan.

Sehubungan itu, KPDN akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan kesemua operator PJRM dapat terlibat sepenuhnya dalam pelaksanaan bantuan tunai SARA pada masa akan datang.