fb fb fb fb fb

Pintu keluar masuk negara lengkap pengimbas baharu sistem AI

Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin

SEPANG, 27 September- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperkasa keselamatan pintu keluar masuk negara menerusi 40 mesin pengimbas bagasi bersaiz besar baharu dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) melibatkan nilai perolehan mencecah RM40.72 juta.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, teknologi itu dapat meningkatkan tahap pengesanan melalui imbasan barang atau bagasi yang dibawa oleh penumpang sekali gus membantu menangani isu penyeludupan barang bercukai dan larangan termasuk narkotik.

"Teknologi AI dilengkapi dalam mesin berkenaan. Jadi ketepatan data apabila bagasi melalui mesin pengimbas ini dapat dilaksanakan dengan cepat dan mudah.

"Ini akan membantu kita mengurangkan ketirisan dan juga meningkatkan hasil melalui pesawat penumpang," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika majlis Perasmian 40 unit mesin pengimbas yang disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Dalam pada itu, sejak mesin berkenaan beroperasi pada Julai lalu, JKDM berjaya menyelesaikan beberapa kes berdasarkan hasil analisis imej imbasan dengan nilai rampasan melebihi RM1.6 juta.

Pada masa sama JKDM juga komited meningkatkan tahap pengoperasian perkastaman dan penguatkuasaan dengan membuat perolehan pelbagai jenis mesin pengimbas dari tahun 2023 melibatkan nilai keseluruhan mencecah RM64.2 juta

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI