KUALA LUMPUR, 18 Mac - Rang Undang-Undang (RUU) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Pindaan 2023 diluluskan hari ini selepas dibahaskan oleh 22 Ahli Parlimen.
Pindaan RUU AUKU itu diluluskan menerusi undian suara Ahli Parlimen yang melibatkan Seksyen 15 dan 16B AUKU serta Seksyen 48(4), Seksyen 48(11), Seksyen 48(12) dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama AUKU.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, ketika sesi penggulungan menjelaskan, matlamat utama pindaan RUU itu, adalah untuk membugar (memperbaiki) budaya berorganisasi serta menyegarkan gerakan mahasiswa.
Usaha prograsif kerajaan ini, akuinya ke arah melahirkan mahasiswa yang berupaya menguruskan kedewasaan dan kematangan mereka.
"Pindaan dibuat mengikut keutamaan dan permintaan daripada kumpulan sasar terutama dari mahasiswa.
"Justeru, mengambil kira semua penambahbaikan yang akan dilaksanakan kepada AUKU sejak 1971, kementerian berpandangan lebih realistik pada peringkat ini, sekiranya AUKU di tambah baik oleh pemegang taruh mahasiswa berbanding dimansuhkan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Dr Zambry ketika membentangkan pindaan itu kali kedua, memaklumkan mengenai penambahbaikan kepada Seksyen 15A AUKU, dilaksana bagi membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar untuk memungut wang, serta menerima sumbangan tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.
RUU AUKU telah melalui 7 fasa pindaan, sejak diperkenalkan pada 1971.
"Pindaan terbaharu AUKU turut memberi ruang kepada mahasiswa menjalankan aktiviti tanpa perlu memohon kelulusan daripada pentadbiran universiti," jelasnya.
Pada 10 Disember 2018, Dewan Rakyat turut meluluskan pindaan AUKU membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus.
Ia sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan mahasiswa bersuara serta berpolitik.